Ikan keli sardin
ALOR STAR: Industri ternakan ikan keli di negeri ini akan memasuki fasa baru
apabila hasilnya ditinkan dan sedia untuk dimakan seperti sardin, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata projek itu akan diusahakan
oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melihat ikan berkenaan berpotensi ditinkan supaya pemasarannya lebih meluas, berbanding hanya dijual
secara mentah di pasar.
Katanya, ikan keli dalam tin jenama La’zatt itu yang dihasilkan dalam empat
perisa, iaitu lada hitam, kari pekat, kari dan sos tomato dijangka mula dipasarkan dalam negeri mulai bulan depan sebelum dieksport.
Katanya, selain itu satu perusahaan mengeluarkan coklat berperisa durian dan kopi
yang dipasarkan menggunakan jenama Pasttee akan diwujudkan.
“Projek ini yang dilaksanakan melalui Pusat Pelaburan Negeri Kedah (KIC) akan
memberi lonjakan dalam sektor agro industri di negeri ini yang mana hasil pertanian dan penternakan diproses supaya mendapat pasaran yang lebih
luas sehingga mampu meneroka pasaran eksport.
“Ia adalah tambahan kepada produk agro industri seperti kuih-muih dan ikan pekasam
yang sudah mula mendapat tempat di pasaran,” katanya selepas melancarkan majalah `New Passage’ dan logo `Kedah Australia Energy and Hydrocarbon
Institute’ (Kasehi), di sini, kelmarin.
Majalah itu yang diterbitkan dua kali setahun bertujuan mempromosi sektor
pertanian dan industri di negeri ini kepada pelabur asing dan tempatan.
Azizan berkata, kerajaan negeri juga merancang mewujudkan sebuah kilang
mengetinkan buah-buahan, termasuk rambutan supaya harga buah berkenaan tidak terlalu murah pada musim buah setiap tahun.
“Usaha itu dijangka dapat menstabilkan harga buah pada musim buah-buahan setiap
tahun, sekali gus memberi sumber pendapatan yang lebih terjamin kepada pemilik dusun,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kasehi diwujudkan antara GLC negeri ini dengan
sebuah pusat latihan di Australia yang bertujuan melatih tenaga kerja tempatan bagi memenuhi permintaan Hab Hidrokarbon Kedah yang akan
dilaksanakan di negeri ini menjelang 2013 dan memerlukan kira-kira 15,000 tenaga kerja.
|