BERNAMA - 7 FEBUARI 2006
PETALING JAYA, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohd Khaled Nordin Isnin
menegur sikap usahawan Bumiputera yang "sayang" untuk membelanjakan wang bagi mengiklankan produk mereka.
Tegas beliau, syarikat Bumiputera mesti sanggup mengeluarkan wang bagi mempromosi syarikat dan produk mereka jika ingin terus berjaya di
pasaran.
Katanya jika dibandingkan dengan perbelanjaan tahunan RM1.2 bilion untuk pengiklanan di Malaysia, sumbangan syarikat Bumiputera terutama Industri
Kecil dan Sederhana adalah terlalu kecil.
Menyentuh mengenai kos pengiklanan di media elektronik, ramai usahawan menganggap ianya di luar kemampuan walaupun terdapat diskaun sehingga 50
peratus bagi usahawan Bumiputera.
"Jika sayang duit, pulangannya mungkin tak nampak. Kalau tak ada promosi, orang tak akan tahu (produk kita).
"Usahawan Bumiputera juga perlu mengikis sikap mahukan pulangan serta-merta. Dalam pengiklanan, pulangannya adalah untuk jangka panjang," kata
Mohd Khaled ketika melancarkan program pembudayaan promosi produk usahawan menerusi TV3, di sini.
Melalui program itu, 40 usahawan akan diberi peluang untuk mempromosikan produk mereka menerusi rancangan MHI.
Beliau menambah usahawan Bumiputera perlu disedarkan bahawa televisyen merupakan platform yang amat berkesan untuk menjangkau hampir 20 juta
penonton.
"Usahawan Bumiputera tidak mampu menembusi pasaran yang lebih luas dengan efektifnya. Faktor kekurangan pengalaman dan pengetahuan terutama dari
segi amalan promosi dan peningkatan pengurusan rantaian bekalan mempengaruhi kelemahan mereka," kata Mohd Khaled.
Dalam pada itu, beliau menambah kementeriannya sedar ada sesetengah syarikat Bumiputera yang tidak berkeupayaan untuk menyediakan peruntukan yang
besar bagi merangka strategi promosi yang berkesan.
Bagi golongan itu, katanya, Mara akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM4.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan bagi membantu
mereka.
|