KUALA LUMPUR 20 Nov. - Malaysia kini merupakan pengeluar terbesar ikan hiasan
dunia apabila berjaya mencapai jumlah pengeluaran tahunan hampir 700 juta ikan berbanding 458 juta ikan pada 2005.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pada
masa ini, negara mensasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 860 juta ikan hiasan pada 2010, iaitu di bawah Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK9).
Beliau berkata, setakat ini, negara telah menternak lebih 250 spesies,
termasuk pelbagai jenis ikan eksotik untuk pasaran domestik dan dunia.
“Bagaimanapun, dalam pengeksportan ikan hiasan itu, Malaysia merupakan negara
kedua terbesar apabila berjaya mengeksport hampir 100 juta ikan hiasan setahun,” katanya selepas merasmikan Aquafair Malaysia 2008, di sini
hari ini.
Dalam perkembangan lain Mustapa berkata, kerajaan bakal melancarkan zon
industri perikanan yang dikenali Prospektus Industri Zon Akuakultur (AIZs) yang bertujuan membangunkan infrastruktur dan sokongan
perkhidmatan industri perikanan.
Katanya, kewujudan zon itu dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM2
bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun.
Beliau berkata, kementeriannya telah mengenalpasti tanah seluas 25,000 hektar
di seluruh negara untuk menjayakan projek akuakultur itu.
“Kelulusan tanah bagi program-program AIZs adalah di bawah skop pihak berkuasa
tempatan iaitu kerajaan negeri,” katanya.
Menurut Mustapa, setakat ini, 1,000 hektar tanah dan empat lokasi telah
dikenalpasti bagi tujuan pembangunan yang berkaitan dengan AIZs khususnya bagi pusat penternakan ikan hiasan.
Katanya, cadangan mewujudkan zon akuakultur bagi ikan hiasan mampu menarik
pelabur luar negara dan domestik.