| |
TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARI
Nama seorang tokoh usahawan bumiputera terkenal di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari tiba-tiba melonjak naik. Namanya terkenal bukan
sahaja di Malaysia malah di serata dunia terutamanya bursa-bursa saham. Tidak banyak yang diketahui mengenai latarbelakang beliau.
Kekayaan beliau dianggarkan sebanyak RM2.15 bilion menduduki tempat ketujuh di dalam senarai 40 orang kaya di Malaysia menurut akhbar perdagangan
Business Economics, 2004. Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari berasal daripada Alor Setar, Kedah. Beliau bermula sebagai seorang pengusaha daging pada
tahun 1970. Beliau dikenali dengan sikap rendah diri, namun beliau tidak pernah berpuas hati dengan kedudukannya dan sentiasa berusaha keras
untuk memperbaiki taraf hidupnya.
Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara
tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Beliau salah seorang yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi
terkenal di mata dunia dalam tempoh singkat. Tan Sri Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan
Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri
Kedah dan Perak.
Kegigihan Tan Sri Syed Mokhtar telah berjaya menarik perhatian dan kekaguman bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang menggalakkan lebih ramai
tokoh korporat bumiputera dapat dilahirkan menerusi usaha keras sebagaimana Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari.
Tan Sri Syed Mokhtar merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang
dilakukan. Seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan
projek. Beliau seolah-olah memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan.
Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan seorang yang pemurah, menggemari perkara-perkara amal dan kebajikan, kuat bekerja, merendah diri dan tidak
gemarkan publisiti. (Sumber: Daripada Penulisan Muhammad Amin Al-Farabi)
|
|
|