KOTA BHARU 20 Nov. - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kini giat
memperkenalkan penanaman ubi Cassava sebagai suatu tanaman
industri untuk pasaran eksport dengan memanfaatkan tanah terbiar.
Ini ekoran sebuah syarikat mengetengahkan idea tersebut, sekali gus menyatakan
kesediaan membina kilang memproses dengan kos dianggarkan
RM20 juta di Rantau Panjang.
Ubi kanji ini menghasilkan bahan biodegradable iaitu resin bagi pembuatan
barangan plastik, terutama pembungkusan makanan yang
mesra alam dan ia dikatakan mendapat permintaan tinggi terutama di Eropah.
Syarikat berkenaan berhasrat memperoleh bekalan bahan mentah daripada petani dalam
kawasan KADA dan ini dianggap mampu menjana
peningkatan ekonomi mereka; tidak lagi sekadar bergantung kepada satu sumber semata dan menjadi tanaman gantian tembakau.
Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada petani dan penanaman dimulakan pada
tahun lepas dengan benih yang sebahagiannya dibekalkan
oleh KADA yang turut membimbing dan menyediakan beberapa kemudahan lain.
Sehingga kini lebih 230 hektar tanah dalam kawasan KADA ditanam secara
berperingkat dengan anggaran hasil sebanyak 3,800 tan melibatkan
95 petani yang sedia mencuba termasuk di jajahan Pasir Mas.
Namun mereka kini kemungkinan berdepan dengan kerugian besar kerana longgokan
hasil tidak dapat dipasarkan apabila kilang tidak wujud dan
syarikat yang menjanjikan pasaran buat mereka lesap entah ke mana.
Apatah lagi jika musim tengkujuh berterusan dan banjir kemungkinan memusnahkan
seluruh tanaman itu sementara mereka menunggu dengan resah
tentang kemungkinan masih ada pembeli.
Mereka mendakwa KADA bersikap lepas tangan dalam menyelesaikan kemelut yang mereka
dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hadapi dalam
projek yang seakan sudah tidak punyai masa depannya.
Menyorot rentetan perjalanan projek ini, semasa menyakinkan pengurusan KADA pada
2006, syarikat yang dikatakan menunjukkan minat
mendalam untuk melabur, memohon kerjasama KADA untuk terbabit dengan mendorong petani menjadi pembekal bahan mentah.
KADA mengkajinya dengan teliti dan membuat pertimbangan panjang lebar dari
pelbagai aspek termasuk mendapat pandangan dan nasihat
daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran, terutamanya dari sudut ekonomik dan viability.
KADA seterusnya melihat projek ini berpotensi sebagai satu komoditi baru yang
diperkenalkan bagi memberikan satu sumber pendapatan tambahan
kepada petani.
Di samping itu, ia diharap dapat mengoptimumkan penggunaan tanah khususnya kawasan
tanah tinggi yang tidak dapat diusahakan dengan
tanaman padi, apatah lagi tanaman ini mudah dikendalikan.
Sehubungan itu, KADA membuat keputusan menerima cadangan ini dengan melantik PPK
Jaya Peringat dan PPK Kubang Sepat sebagai pihak yang akan
bertindak sebagai pembeli hasil ubi kayu daripada petani dan seterusnya membekal kepada kilang.
Pada 18 Mac 2007, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara
syarikat berkenaan dengan PPK sebagai satu mekanisme pelaksanaan
projek.
Ia menjanjikan harga pembelian yang menguntungkan semua pihak di mana petani
memasarkannya melalui PPK dengan harga 50 sen sekilogram
manakala pengilang akan membeli dengan harga 80 sen daripada PPK.
Pendapatan
Bagi tanaman seluas 0.4 hektar yang dianggarkan menghasilkan 24 hingga 30 tan,
petani boleh membayangkan pendapatan sekitar RM11,000
hingga 13,000 setiap kali tuaian selepas tempoh matang dalam lingkungan 6 hingga 10 bulan.
Seterusnya, KADA dengan kerjasama syarikat dan PPK berkenaan telah menggerakkan
program penanaman ubi kayu Cassava mengikut jadual
tertentu dengan sasaran 5,000 tan hasil buat permulaan bagi menampung keperluan syarikat.
Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat memberitahu, malangnya, selepas beberapa ketika,
pemilik syarikat berkenaan menghilangkan diri tanpa
dapat dikesan sehingga kini.
”Janji untuk mendirikan kilang pemprosesan tidak menjadi kenyataan tetapi pada
masa yang sama ubi kayu Cassava yang ditanam itu telah mula
membesar dan mengeluarkan hasil. Ini mencetuskan masalah pemasaran,”
katanya.
KADA terpaksa memikul tanggungjawab besar bagi menyelesaikan masalah longgokan
hasil dengan berusaha sedaya upaya menerusi pelbagai saluran
termasuk pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pihak-pihak lain bagi mencari pasaran.
Pada mulanya dikatakan ada beberapa pihak yang telah menunjukkan minat untuk
membeli hasil tersebut tetapi setelah dibuat susulan, pihak
yang berkenaan telah menyepikan diri dan tidak memberikan sebarang keyakinan.
Namun demikian, menurut Ibrahim, KADA terus berusaha untuk menyelesaikan masalah
tersebut termasuk membuat cadangan tertentu
kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Masalah ini juga telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani untuk sama-sama mencari jalan
penyelesaian demi kepentingan petani.
Akhir-akhir ini, terdapat sebuah syarikat dari Melaka yang menyatakan persetujuan
secara dasar untuk membeli hasil petani dan KADA
sedang mengadakan rundingan lanjut.
KADA tentunya memahami masalah ini perlu diselesaikan dengan secepat mungkin dan
berharap rundingan itu akan membuahkan hasil bagi
melenyapkan keresahan petani dan menyakinkan semula petani terhadap potensi penanaman ini.
|